KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Sabah telah menjalankan operasi membanteras gejala pelacuran di sebuah hotel pada 24 November lalu telah membawa kepada penangkapan 19 suspek malah menemukan wang tunai sejumlah RM11 juta.
Wang tersebut ditemukan dalam beberapa kota minuman keras yang disembunyikan dan dipercayai hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia dan pelacuran.
Menurut sumber, seramai 19 suspek ditahan termasuk tiga lelaki warga tempatan dan 16 wanita rakyat China serta Filipina.
Operasi khas itu dijalankan selepas menerima aduan awam mengenai aktiviti tidak bermoral sehingga membawa kepada penahanan kesemua suspek.
Sumber itu memberitahu, kesemua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (APTISOM) (Akta 670).
Dalam soal siasat terhadap beberapa suspek membawa kepada satu lagi operasi di sebuah pangsapuri di bandar itu beberapa jam selepas itu yang turut berhasil menemukan sebahagian lagi wang tunai.
“Kami akan siasat dari mana sumber wang tersebut dan siapa pemiliknya memandangkan jumlahnya terlalu banyak iaitu RM11 juta,” kata seorang Pegawai Imigresen.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan unit korporat Jabatan Imigresen negeri, agensi tersebut memaklumkan tiada sebarang perkembangan siasatan akan diberi kepada media sehinggalah kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
0 comments:
Post a Comment